(topik ni agak berat, saya suka..sebab..hurmm...mendalami ^_^ )
makam nabi Daud a.s. di Israel (hiasan) |
MAQAM-MAQAM ROH
“Assalamualaikum..Segala
Puji-puji bagi ALLAH S.W.T Selawat dan Salam bagi Junjungan kita Nabi
Agung Muhammad s.a.w serta Sahabat dan Keluarga Baginda. Dengan daya dan
izin ALLAH jua dapatlah saya menyalin sebahagian bab dari terjemahan
sebuah buku yang berjudul “The Book of Sufi Healing” (kitab al-Tibb
al-Ruhi as-Sufi) karangan Syeikh Hakim Abu Abdullah Ghulam Moinuddin.
Dengan
sedikit olahan dari gaya bahasa serta perumpamaan-perumpamaan. Pada
pendapat saya karangan ini sangat baik untuk dijadikan bahan bacaan dan
rujukan bagi pembaca-pembaca sekelian umumnya.
Akhir
kata saya memohon ampun kepada ALLAH S.W.T jika ada kesilapan didalam
salinan saya dan sama-samalah kita membetulkannya. Dan kepada ALLAH saya
berserah diri.
Wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh"
MAQAM AN-NAFS
Dalam perjalanan hidup di
dunia ini,fizikal kita melalui peringkat-peringkat atau maqam-maqam
iaitu peringkat bayi, peringkat kanak-kanak, peringkat muda dan
peringkat tua. Demikian juga roh itu melalui peringkat-peringkat evolusi
atau maqam yang tertentu.
Perkataan Arab bagi maqam itu ialah
maqam (banyak: maqamat) yang bererti tempat berhenti dan berehat
sebentar, tempat kediaman, wisma, tinggal, kehormatan, jabatan, keadaan,
nada muzik dan soalan. Sebenarnya pendudukan maqam oleh roh adalah
semuanya itu dan kadang-kadang lebih daripada itu.
Maqam roh itu
dimasuki pada waktu lahir lagi, dan seluruh hayat ini menduduki satu
daripada maqam-maqam tersebut, miskipun ada peralihan dari satu maqam ke
maqam yang lain. Susunan itu dari bawah keatas adalah seperti berikut:
Maqam an-nafs = Maqam egotisma ( maqam nafsu )
Maqam al-qalb = Maqam hati
Maqam al-roh = Maqam roh
Maqam as-Sirr = Maqam rahsia (ketuhanan)
Maqam al-Qurb = Maqam kehampiran (dengan ALLAH)
Maqam al-Wisal = Maqam kesatuan (dengan ALLAH)
Dari
semenjak lahir kita sentiasa berjuang dan berusaha memajukan roh.
Kemajuan dalam usaha ini boleh ditanda dan diukur dengan merujuk kepada
maqamat (maqam-maqam) tersebut. Memang bukan semua orang mencapai maqam
itu. Dan bukanlah badan yang mengembara disitu tetapi roh.
Roh
itu juga bermaksud nafas ALLAH, malaikat Jibril, Al-Qur’an, Wahyu dan
kenabian. Menurut orang sufi, roh itu adalah zat hidup, bukan badan atau
otak dengan fikiran dan ingatannya, bukan juga proses-proses hayat ini.
Roh mempunyai wujud tersendiri yang datang dari ALLAH dan milik ALLAH
semata-mata.
Apabila kita bertanya apakah rasanya buah delima,
“maka jawabnya ialah rasanya seperti rasanya juga”. Jawapan itu tidak
cukup untuk memuaskan hati, tetapi kerana keunikan dan tersendiri
keadaannya, rasanya juga tidak dapat untuk diumpamakan dengan rasa-rasa
yang lain. Demikian juga dengan roh.
Roh atau zat itu dapat
dibuktikan wujudnya melalui penzahiran atau manifestasinya. Kita ambil
contoh iaitu ‘tarian’. Tarian wujudnya tidak secara konkrit (dapat
dilihat, disentuh, dan sebagainya). Ia lahir dalam bentuk rentak, tempo,
corak, gerak-geri dan sebagainya. Begitulah perumpamaan tarian dan
penarinya. Roh dan jasad. Roh manusia memerlukan penzahiran (rentak dan
corak) untuk terzahir dalam alam fizikal (jasmaniah). Roh itu berbeza
dari nafas. Nafas ialah tenaga ketuhanan yang menggiat atau mengerakkan
fenomena atau kejadian jasmaniah dalam badan termasuk proses mental. Roh
itu lebih tinggi darjatnya dari nafas dan lebih dekat dirasai.
Matahari,
batu api, mancis dan sebagainya ada zat api padanya. Semuanya ada zat
yang sama, tetapi bentuk fizikalnya berbeza-beza, dan setiap satu
terletak di peringkat evolusi berbeza iaitu maqam yang berbeza. Hakikat
zat api itu ialah sebahagian dari Nur ALLAH (cahaya ALLAH)
Setiap
manusia ada roh, tetapi roh seseorang itu tidak sama dengan roh seorang
yang lain. Seorang yang kufur tidak sama dengan seorang Waliyullah. Ada
roh yang lebih suci daripada roh yang lain.
Setiap orang lahir
dalam “maqam nafsu” dan inilah maqam yang pertama dalam hidup di dunia
ini. Bayi yang hanya hendak memenuhi keperluan jasmaniahnya semata-mata.
Dan memerlukan makanan dan minuman, perlu digendung. Dia akan menangis
untuk menyatakan kehendaknya. Dia tidak tahu akibat perbuatannya. Bayi
memecahkan sesuatu benda yang dianggap sangat bernilai oleh orang dewasa
dan dia ketawa melihat keadaan itu.
Seseorang dalam pertumbuhan
awal hanya semata-mata mementingkan hawa nafsu kehaiwanannya, makan
minuman dan segala jenis ransangan nafsu. Semua ini adalah keadaan yang
dikurniakan ALLAH yang diperlukan oleh mereka. Bayi dan kanak-kanak di
pasaraya dengan sengaja memecahkan barangan yang dipamerkan di situ,
orang tidak marah. Tetapi sekiranya orang dewasa yang melakukan dengan
sengaja perbuatan yang sedemikian pastilah tindakan akan diambil
keatasnya.
Dalam maqam nafsu, daya pertimbangan akan dan
pemikiran belum maju lagi. Daya ini datang kemudian. Dalam proses
pertumbuhan anak itu, ibu bapanya atau masyarakat sekeliling biasanya
memberi pengaruh kepada perangainya. Dengan kata lain, anak itu berlajar
mengikut sifat-sifat yang tertentu. Siapa yang menyimpang daripada
jurusan itu akan ditentang dengan pelbagai halangan yang menyusahkan.
Adalah
perkara biasa dan memang difahami bahawa kana-kanak memang berada dalam
peringkat maqam nafsu ini. Sebagai mana kanak-kanak itu membesar dan
merangkak, badan bertambah matang, tindakan fizikal bertambah licin,
maka bergitu jugalah kita mengharapkan rohnya berkembang maju dan
meningkat ke atas melebihi maqam nafsu itu.
Al-Qur’an menerangkan
cara-cara bagaimana memajukan dan mempertingkatkan roh. Cara hidup yang
ditonjolkan oleh Al-Qur’an itu digelar As-Sirat al-Mustaqim (jalan yang
lurus)
Bagi orang sufi, tujuan hidup ini ialah mengembara menuju
kepada ALLAH. Untuk berbuat demikian hendaklah dengan cara yang
munasabah dan boleh membawa kejayaan dan juga yang paling cepat sampai.
Oleh itu, jalan lurus adalah jalan yang paling dekat antara dua tempat-
maqam an-nafs dengan maqam al-Wissal (iaitu maqam kesatuan dengan
ALLAH). Paling dekat dan paling cepat sampai.
Ramai orang yang
telah dewasa dan tua bangka tetapi rohnya masih diperingkat maqam
an-nafs. Orang seperti ini tidak pernah merasa puas dan tidak pernah
merasa kenyang untuk memenuhi kehendak nafsu. Jika manusia berapa
terlalu lama dalam peringkat ini, ia boleh menimbulkan banyak penyakit
emosi dan fizikal yang teruk. Ketakutan, keresahan batin, keraguan pada
diri sendiri, mementingkan diri sendiri, akal tidak siuman, menangis
tanpa sebab, putus asa, penyakit saraf, penyakit jantina, membunuh diri –
semuanya penyakit emisi yang berkaitan dengan “maam an-nafs”, jika
seorang itu berada terlalu lama dalam maqam ini hingga ke tua.
Penyakit
fizikal yang bersangkutan dengan “maqam an-nafs” kadang-kadang berlaku
serentak dengan penyakit-penyakit emosi dan psikologi. Tetapi bagi badan
akibat terlalu lama dalam peringkat ini akhirnya boleh menimbulkan
penyalahgunaan dadah, ketagihan arak, jenayah, terlalu gemuk,
hypoglycemia, buta dan penyakit mata, demam kuning, penyakit jantung,
penyakit kelamin dan kanser. Keadaan ini akibat daripada kegagalan
mengawal dengan sempurna satu atau lebih fungsi-fungsi nafs badaniah.
Mungkin orang tidak percaya dan berkata bahawa dia mengenali seorang
yang sangat baik akhlaknya tetapi mengidap penyakit lemah jantung.
Dengan mengetahui maqam-maqam selanjutnya berkenaan evolusi roh
(perjalanan roh) akan menjelaskan perkara ini sepenuhnya.
Cara
untuk melepaskan diri dari maqam an-nafs dan maju lagi ketingkat yang
lebih atas ialah mendisiplinkan dan melatih ego diri dan nafsu. Ini
bererti mempertingkatkan kuasa iradat, tanggungjawab, pertimbangan akal,
belas kasihan dan sopan santun, dan lain-lain sifat yang baik. Apabila
seseorang itu mendapat mengawal nafsu dan meniggalkan peringkat maqam
itu, ia akan sampai ke “maqam al-qalb” atau maqam hati.
MAQAM AL-QALB
Perkataan
Arab bagi hati ialah “QALB”. Perkataan ini mempunyai maksud yang luas
dan mulia iaitu hati, fikiran (minda) roh, kefahaman, akal (intelek),
intisari, tulang sumsum, tengah, bahagian yang paling baik dipilih,
teras, tulin dan suci. Qalb itu juga membawa makna susunan, menukar
keadaan atau menjadi. Bagi orang sufi, hati itu adalah alat atau cara di
mana mlaluinya semua perubahan itu terjadi.
Mereka yang
menduduki (maqam hati) memiliki kebaikan. Mereka berasa baik tentang
diri dan alam ini. Orang dalam maqam ini akan berkata, “Aku hendak
membuat yang baik-baik saja dalam dunia ini. Aku mencintai alam semula
jadi dan akan menerima semua orang. Alagkah indahnya kehidupan ini !”
Memandangkan
sikap yang baik terhadap hidup ini, mungkin kita menganggap orang dalam
“maqam al-qalb” ini tidak ditimpa penyakit. Tetapi sebaliknya yang
terjadi. Orang dalam maqam ini masih boleh diserang oleh ketidak
seimbangan emosi dan fizikal dan juga spiritual (kerohanian). Penyakit
emosi dan roh ini termasuklah tidak boleh menumpukan fikiran
(kosentrasi), lupa, takut gagal, kemunafikan jenis tertentu, emosi yang
melampau seperti ekstasi (tidak sedar diri), perasan putus asa, seronok
dan marah yang melampau, sombong dan tidak perduli perasaan orang lain.
Miskipun
adanya aspek yang positif dalam maqam ini, namun ia masih dalam maqam
kedua dalam perjalanan roh. Peringkat ini menimbulkan pergolakan emosi
yang hebat, seperti perceraian antara suami isteri atau masalah
perhubungan dengan orang lain, dan juga kesukaran dari segi kewangan.
Ini disebabkan orang itu merasai tekanan ekstasi (dzauk) iaitu perasaan
keghairahan baru yang menguasai kehidupan seseorang itu. Ramai rakan
yang baik dengan orang itu sebelum ini tidak lagi setuju dengan
pendapatnya dan bertambah rengganglah persahabatan mereka kerana timbul
berbagai-bagai perselisihan faham dan sebagainya, setelah dia sampai ke
maqam hati ini. Ramailah saudara dan kenalannya yang tidak mahu
bercampur dengannya lagi.
Ada juga terjadi masalah fizikal pada
orang-orang dalam peringkat ini. Penyakit dalam peringkat ini sangat
teruk, kerana badan sedang melalui proses pembersihan dan dalam proses
membuang racun dan benda-benda yang tidak berguna yang terkumpul dalam
peringkat sebelumnya. Oleh itu penyakit orang dalam maqam al-qalb ini
ialah sakit kepala, rasa hendak muntah, sakit-sakit dan lenguh seluruh
badan, keracunan badan (pecah-pecah kulit, penyakit kulit kepala),
demam, sakit pada pundi hempedu dan sakit buah pinggang.
Penyakit
dalam maqam an-nafs biasanya sangat teruk dan selalunya tidak dapat
disembuhkan, tetapi dalam maqam al-qalb, badan itu sendiri merawat dan
menyembuhkan penyakit itu. Hampir semua adalah tanda-tanda satu atu
lebih jenis krisis penyembuhan yang dilalui oleh badan dalam
menyembuhkan dirinya sendiri. Proses ini mungkin tidak digemari tetapi
faedahnya besar.
Adalah sukar mengembara terus ke maqam-maqam
yang lebih tinggi lagi jika tidak ada guru yang benar-benar mursyid. Di
bawah pimpinan guru, kita boleh bergerak terus keperingkat yang atas
lagi iaitu “maqam ar-roh” (maqam roh), dengan mengikut pelbagai amalan
untuk memajukan sifat-sifat kasih sayang, pertimbangan dan disiplin diri
hingga ketahap kesempurnaan.
MAQAM AL-ROH
Tidak syak lagi
maqam al-roh ini ialah peringkat yang diberkati, dan orang yang
menduduki peringkat ini dilihat oleh orang lain sebagai orang yang
berwatak cinta dan bersifat ketuhanan, tetapi masih ada lagi ketidak
seimbangan fizikal dan emosi, yang mana adalah sebahagian daripada alat
atau mekanisma yang dengannya seseorang itu sampai kepada ALLAH. Keadaan
ini mendalamkan iman. Persoalan emosi “maqam ar-roh” termasuklah
sombong, megah kurang konsentrasi, pening-pening, sikap tidak
bersungguh-sungguh dan kadang-kadang menghina orang lain. Inilah
penyakita-penyakit dalam maqam ini tetapi bukanlah perangai orang yang
seimbang dalam maqam ini. Ketidakseimbangan ini boleh terjadi apabila
orang itu belum lagi sampai ketahap yang seluruhnya bebas dari
kehendak-kehendak nafsu.
Suatu ketika apabila seorang ahli sufi
yang sangat terkenal pada zamannya iaitu Syeikh Abdul Qadir Jilani r.a
telah dianggap orang sebagai syeikh kerohanian yang besar, didatangi
suatu lembaga yang mahu merosakkan akidah beliau dengan memberitahu yang
beliau ( Syeikh Abdul Qadir Jilani ) sekarang tidak perlu lagi bersolat
kerana beliau telah mencapai maqam yang tinggi. Tetapi dengan pimpinan
ALLAH S.W.T dan ketinggian ilmu beliau. Syeikh Abdul Qadir Jilani telah
membaca sepotong ayang Al-Qur’an yang menunjukkan bahawa lembaga itu
sebenarnya syaitan. Ini menunjukkan bahawa makin jauh seseorang itu
mengembara dalam jalan tareqat kerohanian maka makin banyak dia diganggu
oleh syaitan.
Setengah dari ketidakseimbangan dalam maqam ini
mudah dikawal, tetapi setengahnya tidak. Satu daripada sifat yang paling
sukar dan bahaya ialah sombong atau bongkak. Inilah sikap yang suka
memuji diri sendiri. Dia akan berkata, “Aku lebih baik daripada orang
lain. Aku solat sepanjang hari, aku berpuasa, aku takafur. Aku melihat
semua orang seperti sampah. Mereka semuanya berdosa.” Tetapi sikap ini
bahaya, kerana ini mengotorkan kesucian kerohaniannya. Perlu diingati
setiap orang maju kesatu tahap tertentu dalam perjalanan kerohanian
dengan IZIN ALLAH. TIDAK KIRA BAGAIMANA TENGGELAMNYA SESEORANG ITU DALAM
KEHIDUPAN DUNIA INI NAMUN DIDALAM JIWA MEREKA MASIH TETAP ADA PANCARAN
KETUHANAN. Mereka juga boleh maju. Orang-orang dijalan lurus yang tulin
tidak akan mencaci orang lain. Sepatutnya mereka yang belum sedar itu
dipimpin keluar dari jalan yang sesat masuk ke jalan yang benar dan
lurus.
Ada sedikit masalah jasmaniah (fizikal) yang berkaitan
dengan maqam roh ini, termasuklah mabuk sendiri (akibat malas bernafas
yang keterlaluan), beberapa jenis ransangan urat saraf, keletihan,
selera tidak normal dan juga demam.
Ada dua bentuk demam: pertama
, terjadi dalam maqam nafsu. Hati jasmani itu panas yang ditimbulkan
oleh badan kerana menapis dan memproses kotoran yang berlebihan. Demam
jenis yang kedua terjadi dalam maqam yang diatas lagi dan ini merupakan
pembersihan rohani yang dalam yang menyebabkan sebagaimana sabda Nabi
Muhammad s.a.w “Dosa itu jatuh berguguran seperti daun yang gugur dari
pokok”. Demam ini membakar kotoran diperingkat roh. Bahkan sebahagian
daripada nabi-nabi pun tertakluk pada demam-demam. Orang soleh yang
mengalami demam pada peringkat ini bukanlah sedang dirawat kerana
perbuatan dosa mereka. Seorang ahli sufi pernah berkata , “Pada awalnya
anda taubat daripada lupa kepada ALLAH walaupun satu saat”. Keadaan
inilah yang dirawat dalam “maqam ar-roh”.
Ada juga terjadi orang
dalam maqam ini menjadi gila jika ia tiada guru. Mereka mungkin jatuh ke
jurang “khayal sendirian”. Wahai orang-orang yang mencari, janganlah
kamu hanya rehat di satu-satu maqam saja atau menyangka kamu tidak akan
jatuh balik ke maqam yang di bawah.
Apabila tabib kerohanian
merawat seseorang pesakit maka jelaslah bahawa beliau memberi rawatan
yang berbeza. Waliyullah dirawat dengan cara yang lain dan orang biasa
dirawat dengan cara yang lain, walaupun mereka mengatakan mereka
mempunyai penyakit yang sama. Demam contohnya.
Persoalan yang
mungkin timbul adakah seseorang itu boleh bertindih atau beselisih
maqam. Ini tidak berlaku. Maqam itu ialah tempat berhenti rehat. Oleh
itu, apabila seseorang itu masuk ke satu maqam, ia akan berada di situ
hingga meninggal dunia atau hingga naik ke maqam atas lagi atau undur
balik ke maqam yang dibawah. Walau bagaimanapun ada banyak keadaan tau
hal yang terjadi dalam sesuatu maqam. Hal bermaksud “pertukaran” dan
dikaitkan juga perkataan ini melalui bunyi kepada hal yang bererti
melepas ikatan atau melarutkan. Dalam pengertian ini, seseorang itu
hilang pengaruh deria seperti dzauk semasa mereka berzikir hingga
kadang-kadang mereka jatuh tidak sedar diri dan dapat memandang seketika
kealam hakikat dan makrifat.
MAQAM AS-SIRR
Maqam keempat
ialah “maqam as-sirr”. Inilah maqam rahsia-rahsia Ketuhanan. Perkataan
sirr (banyak: asrar) adalah berkenaan dengan rahsia paling besar, yang
tidak dapat difikirkan, dan apabila dialami sukar dipercayai. Perkataan
ini juga mempunyai maksud yang lain, misalnya bersatu, bahagian tengah
atau paling baik pada sesuatu, tanah paling kaya, akar, asal dan pusara.
Inilah
maqam yang dimaksudkan oleh ALLAH dalam firman-Nya , “Ada
hamba-hamba-Ku yang tertentu yang tidak berhenti-henti berusaha
menghampiri-Ku dengan ibadat-ibadat sunat sehingga Aku menjadi mulut
yang dengannya mereka berkata-kata, mata yang dengannya mereka melihat,
telinga yang dengannya mereka mendengar, tangan yang dengannya mereka
memegang dan kaki yang dengannya mereka melangkah”. Mereka yang bernasib
baik dalam maqam ini diletakkan di tempatnya masing-masing. Mereka
diberi kuasa pendengaran batin iaitu daya luar biasa pendengaran dan
dapat membaca fikiran orang lain. Malaikat datang kepada mereka dengan
perkhabaran-perkhabaran dari alam ghaib.
Suatu hari orang
bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. “Untuk apakah alam semesta raya ini
dijadikan ALLAH? Bagaimanakan ia wujud?”.
Nabi menjawab, “Aku tidak tahu jawapannya. Aku akan bertanya dulu kepada Malaikat Jibril”.
Nabi pun bertanya kepada Jibril yang memberi jawapan demikian, “Aku tidak tahu, aku akan bertanya kepada ALLAH”.
Lalu
Jibril pun bertanya kepada ALLAH S.W.T. kemudian ia kembali membawa
firman ALLAH. “Kami ciptakan langit hanya untuk memberi pemandangan yang
indah-indah dan untuk hiburan bagi makhluk, dan untuk mempamirkan
keagungan dan kekuasaan Kami dan diciptakan bintang-bintang yang
berkelipan untuk mempertingkatkan jiwa makhluk dan mengembirakan mereka
dan menyebabkan mereka kagum dan terpesona dengan ciptaan ALLAH S.W.T.”
Apabila
ALLAH ditanya bagaimana Dia membuat semua ini, Jibril melaporkan bahawa
ALLAH berfirman, “Aku tidak jadikan manusia itu berupaya untuk
mengetahui bagaimana Aku buat semua itu. Walau Aku beritahu kepadamu,
kamu tidak akan faham tetapi tatkala bercerai nyawa dengan badan,
tatkala itu hijab telah tersingkap, kamu akan melihat bagaimana ia
dibuat dan kamu akan hairan dan takjub dengan kebijaksanaan-Ku. Akulah
pencipta yang paling baik. Sebagaimana Aku jadikan langit itu dengan
rumit dan komplek sekali, maka bergitu jugalah Aku menjadikan diri
manusia itu lebih hebat dan rumit lagi”.
Nabi Muhammad s.a.w yang
sudah pasti berada di maqam yang paling tinggi dapat menerima
perkhabaran sedemikian. Peringkat yang tinggi dan anugerah ini tidak
dicapai oleh orang biasa.
Orang yang masuk ke “maqam as-sirr”
telah lulus ujian yang paling sukar dan mereka tidak lagi mencari aspek
kehidupan yang ditunggangi oleh hawa nafsu. Mereka tidak lagi berusaha
mencari kemasyuran, kekayaan atau keghairahan perasaan. Mereka hidup
kerana ALLAH dan untuk ALLAH. Mereka berhubung rapat dan mesra dengan
ALLAH dan dengan penghuni langit. Namun mereka tetap manusia biasa.
Beberapa kejadian fizikal dan emosi memang ada terjadi pada peringkat
ini. Tidaklah benar mengatakan kejadian-kejadian ini sebagai “penyakit”
tetapi adalah ketidakseimbangan atau sampingan yang menyebabkan
seseorang turun dari peringkat ini atau menjadi lemah dalam maqam ini
dan tidak berterusan lagi untuk mencapai tujuan atau matlamat iaitu
ALLAH S.W.T. Ketidak seimbangan utama “maqam as-sirr” ini termasuklah
penafsiran palsu tentang fenomena (kejadian luar biasa) Ketuhanan, tidak
rasional, kurang minat dengan kehidupan duniawi, sakit hati dan jasmani
serta rasa membara hati jasmani.
Seseorang yang berada dalam
maqam di bawah tidak boleh biasanya melompat beberapa maqam diatasnya.
Diumpamakan seorang kanak-kanak boleh memandu basikal tetapi tentu tidak
mampu memandu kapal terbang. Ini bukan bererti hendak
merendah-rendahkan kanak-kanak itu dan mengagung-agungkan juruterbang
itu. Tetapi seseorang yang telah mencapai maqam tertentu boleh berfungsi
dalam maqam-maqam dibawahnya dan memahami maqam-maqam itu. Seperti juga
seorang juruterbang yang boleh menunggang basikal diwaktu kanak-kanak
boleh untuk terus menunggang basikal pada waktu dewasanya.
Penipuan
diri sendiri yang dimaksudkan dalam maqam ini adalah keadaan (hal)
maqam ini. Tetapi hal adalah ragam (mode) iaitu penipuan diri sendiri
ini menzahirkan bentuknya. Perlu diingat, bukan setiap orang dalam maqam
ini dan lain-lain maqam akan mengalami semua fenomena yang mungkin
berlaku dalam sesuatu maqam itu.
Kejadian fizikal yang berlaku
dalam “maqam as-sirr” ini ialah demam, perasaan susah bernafas dan
kadang-kadang rasa lemas. Ini terjadi kerana untuk sampai keperingkat
ini memerlukan bertahun-tahun lamanya menjalankan amalan bernafas.
Ketidak seimbangan boleh terjadi jika amalan ini dibuat secara tidak
betul atau terlalu banyak. Tambahan pula bukanlah perkara yang luar
biasa di peringkat ini seseorang itu diganggu oleh kejadian-kejadian
alam ghaib. Gangguan jin adalah satu contoh. Jin boleh mengganggu
manusia di mana-mana pereingkat, bahkan bayi yang baru lahir sekalipun.
Dalam keadaan demikian, pelbagai jenis amalan rohaniah yang melibatkan
pernafasan digunakan sebagai penawarnya.
Sumber penting amalan
bernafas ini ialah Al-Qur’an. Pelbagai permulaan dan perhentian nafas
terdapat dalam Al-Qur’an dan pembacaannya pun berperingkat hingga ke
sebelas peringkat. Vokal (huruf saksi) atau denyutan yang biasa dalam
pembacaan. Miskipun hanya beberapa orang yang pada amalinya boleh
membaca diperingkat yang tinggi . kita boleh mendengar pembacaan sampai
dua minit dengan satu nafas dan gerak melalui 4 atau 5 deretan oktaf
iaitu enam nada bunyi.
MAQAM AL-QURB
Di atas maqam as-sirr
ialah maqam “al-qurb”. Erti ‘qurb’ ialah “kehampiran” dan juga membawa
pengertian datang hampir, menuju, kejiranan, persaudaraan dan pertalian.
Orang dimaqam ini sesungguhnya menikmati kehampiran dengan ALLAH yang
Maha Tinggi. Di situlah langit yang paling tinggi, mengandungi ‘Arasy
atau singgahsana ALLAH S.W.T Orang yang menduduki maqam ini mempunyai
pandangan yang tinggi dan nampak sekalian alam makhluk dan juga
memandang ke alam akhirat dan alam tempat bentuk-bentuk makhluk yang
lain tinggal.
Di peringkat ini sangat sedikit ketidakseimbangan
atau kesusahan dari segi kesihatan dan dari segi penyakit. Namun
ketidakseimbangan yang sedikit itu mungkin jadi amat teruk. Satu dari
hal dalam maqam ini ialah dzauk yang melampau. Orang yang dikuasai oleh
hal ini digelar majdhub. Orang seperti ini hampir semua minat atau
perhubungan dengan dunia ini. Mereka dalam keadaan gembira sepanjang
masa ( gembira yang tidak dapat ditafsirkan oleh orang biasa ). Mereka
tidak perduli sama ada mereka tidur, makan atau berpakaian. Mereka mabuk
dengan ALLAH dan terserap dalam Yang Dikasihi (iaitu ALLAH).
Bergitu
ganjil keadaan mereka yang berada di maqam berhampiran itu. Mereka
melihat realiti dari peringkat yang lain dan jauh berbeza dari orang
biasa. Keadaan ini sangat mengasyikkan dan sangat indah dalam cara dan
tingkatnya sendiri tetapi ia bukan tujuan atau matlamatnya. Sebenarnya
tidak perlu berada terus selama-lamanya diperingkat itu.
Ada
orang dalam maqam ini tidak bercakap lebih 20 tahun lamanya. Mereka
tenggelam dalam keadaan atau hal itu hingga tidak ada selera bendak
berkata-kata taupun tidak mampu berhubung dengan orang lain. Lain-lain
ketidakseimbangan dalam maqam ini ialah mereka dikuasai oleh perasaan
lupa dan kadang-kadang seperti orang gila atau kurang siuman. Ia lupa
apa yang dikatakannya sebentar tadi. Sebahagian daripada amalan
peringkat ini ialah tafakur nafas dan mental. Hal seperti ini mungkin
melampau dan keterlaluan hingga dia hilang ingatan lansung. Walau
bagaimana pun jarang-jarang berlaku.
Banyak persamaan
diperhatikan antara orang dalam peringkat kerohanian ini dengan orang
yang berpenyakit mental. Orang mungkin menganggap mereka gila belaka.
Kita perlu ambil kira tentang ketidakseimbangan roh jika hendak
menganalisa keadaan mereka itu.
Satu persoalan yang belum disebut
lagi tetapi terjadi dalam semua maqam ( lebih bahaya diperingkat maqam
kehampiran ) ialah MENTUHANKAN DIRI SENDIRI, mengatakan diri sendiri
ialah ALLAH. Naq’uzu-biLlah. Satu lagi ketidak seimbangan yang terjadi
di dalam maqam ini ialah TIDAK PERCAYA KEPADA ALLAH.
Semakin
tinggi dan semakin jauh seseorang itu naik dalam evolusi rohaniah ini,
maka makin banyak ujian dan cubaan. Orang di peringkat ini telah lama
memendamkan kehendak-kehendak nafsu badaniah dan mereka berjaya
membimbing orang lain kejalan yang benar dan betul, dan oleh itu tentu
sekali hebat diganggu syaitan, jin dan iblis.
Ada orang mengaku
bahawa dia bercakap-cakap dengan ALLAH dan menerima bimbingan secara
lansung daripada ALLAH. Sepatutnyalah kita sedar ALLAH berhubung dengan
insan melalui malaikat Jibril, kecuali nabi Musa a.s. banyak amaran oleh
mereka-mereka yang arif dan terdahulu merempuhi batasan ini tentang
bahaya menganggap diri sendiri telah cukup kuat menentang tipu daya
iblis dan syaitan atau manusia yang berwatak iblis. Syeikh Junaid r.a
pernah berkata, “Orang yang mengambil dirinya sebagai guru adalah
mengambil syaitan sebagai gurunya.”
MAQAM AL-WISAL
Ada
satu maqam lagi iaitu yang terakhir ialah maqam “al-wisal” iaitu
bersatu dengan ALLAH. Disini ALLAH dengannya ibarat yang mengasihi dan
yang dikasihi. Bersatu dan berpadu dalam satu wujud sepanjang masa.
Maqam ini tidak mampu dicapai dengan usaha dan amalan apa sekalipun.
Ianya hanyalah hadiah dari ALLAH semata2. aLLAH yang menentukan dan
memilih siapa yang dikehendaki-Nya, untuk mencapai maqam ini.
Diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud r.a bahawa Nabi pernah bersabda:
“Di
kalangan hamba-hamba Allah, ada 300 orang yang mempunyai pertalian dan
perkaitan yang khusus dengan Allah dan hati mereka serupa dengan hati
Nabi Adam a.s. 7 orang dengan hati yang serupa dengan hati Nabi Ibrahim
a.s. 5 orang dengan hati yang serupa dengan hati malaikat Jibril a.s. 3
orang dengan hati yang serupa dengan malaikat Mikail. Seorang dengan
hati yang serupa dengan hati malaikat Israfil. Apabila yang seorang itu
meninggal dunia, seorang daripada yang lima itu akan menggantikan
tempatnya. Apabila seorang dari yang 5 itu itu mati, seorang dari
yangpada yang 7 orang itu akan menggantikan tempatnya. Apabila seorang
daripada yang 7 itu meninggal dunia, seorang daripada yang 40 orang itu
mengantikan tempatnya. Apabila seorang daripada yang 40 orang itu
meninggal dunia, seorang daripada yang 300 orang itu akan mengambil
tempatnya. Apabila seorang daripada yang 300 orang itu meniggal dunia,
seorang daripada manusia umumnya menggantikan tempatnya. Oleh itu, demi
mereka, ALLAH Taala mentadbir hidup, mati, turun hujan, menjadikan dan
menghindarkan manusia dari malapetaka”
Tiga ratus orang itu
tersenyum sepanjang masa dan tidak ada kaitan dengan hal-hal keduniaan.
Mereka tidak perlu makan, minum tau tidur. Mereka telah melampaui
batas-batas manusia biasa dan mereka boleh mengembara kemana sahaja di
muka bumi dan di langit. Dalam sejarah manusia di muka bumi ini hanya
beberapa orang sahaja yang telah sampai ketaraf atau tingkat ini. Sukar
hendak diperihalkan dengan perkataan. Itulah matlamat ujud ini. Ini
menyentuh janji yang kita buat dengan ALLAH sebelum kita dilahirkan
kedunia nyata ini.
Orang-orang yang digelar Wali yang bererti
“rakan ALLAH yang dikasihi-Nya”. Merekalah yang sebenarnya Khalifah
ALLAH di muka bumi ini. Biasanya mereka tidak dikenal umum. Mereka ini
diberi pengetahuan tentang hakikat kejadian alam semesta raya dan hal
ehwal kemanusiaan. Merekalah yang ALLAH gunakan untuk menzahirkan
“Perencanaan Ketuhanan” di muka bumi ini. Alat yang mereka gunakan ialah
ma’rifatullah (mengenal dan mengetahui ALLAH).
Hanya sesiapa
yang tergolong dalam bilangan 300 orang tersebut sahaja yang boleh
dianggap sebagai ahli sufi yang tulen. Bagi yang lainnya itu barulah
diperingkat peminat Kesufian sahaja.
Apabila sampai ke maqam ini
tiadak ada lagi sakit fizikal (badan). Hanya satu kejadian fizikal
sahaja yang tinggal iaitu cara meninggal dunia. Biasanya orang di
peringkat ini bukan meninggal dunia kerana penyakit. Mereka diberitahu
masa yang tepat untuk meninggalkan dunia ini dan dengan itu bolehlah
membuat persediaan menghadapi maut. Sunggup pun dia mengetahui masa
untuk meninggal dunia tetapi beliau tetap membuat kerja-kerja harian
seperti biasa sahaja dengan penuh kesedaran hinggalah tiba waktunya dia
menggadap yang Maha Pencipta.
Bagi orang seperti ini, saat-saat
meninggal dunia itu adalah saat-saat yang ditunggu-tunggu dan dirindui,
bahkan seperti hari keraian kerana mereka telah melepaskan hubungan
dengan dunia ini melalui dzauk dan perasaan mereka. Mereka telah
mengembara kealam kerohanian dengan roh mereka. Badan di bumi tetapi roh
mereka menjelajah kea lam-alam lain. Tidak ada sesiapa yang boleh
mengganggu dan menentang mereka. Orang seperti ini bebas daripada
kesulitan dan permasalahan duniawi.
Kesimpulannya ialah. Ketaatan
dan kehendak ALLAH jualah roh itu maju dari maqam permulaan (maqam
an-nafs) hingga kemaqam akhir (maqam al-wisal). Cara untuk melangkah
dari tingkatan rendah ke tingkatan tinggi itu ialah dengan melawan dan
mengawal hawa nafsu. Dalam usaha ini ada amalan tertentu yang diaturkan
oleh ALLAH S.W.T untuk menghasilkan kesan yang paling tepat , cepat dan
cemerlang.
Banyak halangan dan rintangan dalam usaha kita hendak
berjalan dalam perjalanan ini. Ego atau diri kita itulah ujian yang
paling besar. Diri itulah percubaan yang paling besar. Mungkin kita
bangun daripada tidur dengan keazaman hendak menumpukan hati
(konsenterasi) kepada fikiran-fikiran yang paling suci, paling diberkati
dan paling tinggi. Tetapi apa yang berlaku ialah kita mendapat
panggilan telefon dari tempat kerja yang mengatakan kita telah hilang
pekerjaan, atau salah seorang pekerja di perusahan kita memberitahu yang
kita telah mengalami kerugian beribu-ribu ringgit dan sebagainya. Kita
pun hilang konsenterasi. Hanya pada malamnya kita kembali teringat pada
keazaman kita tadi paginya.
Oleh yang demikian, kita mestilah
selalu mengingati semula dan mengatakan niat kita itu. Pada mulanya
memang sukar tetapi lama-kelamaan, lebih mudah dari yang kita bayangkan.
Dan ianya menjadi kebiasaan kepada kita, kebiasaan yang paling positif.
Akhirnya kita tidak akan mudah terlalai lagi dari keazaman untuk satu
penhijrahan yang terbaik itu.
Seseorang itu tidak boleh melakukan
amalan-amalan kerohanian ini bersendirian atau menurut logik akal
fikiran sendiri sahaja. Bahayanya banyak. Inilah sebabnya kenapa
memerlukan guru yang hidup untuk membimbing sepanjang masa.
Perihal
maqam-maqam roh yang di tulis di sini hanyalah ringkasan sahaja.
Sebenarnya hasil yang berkesan hanyalah dating dari ilmu, amal yang
istiqomah dan mujahadah yang bertahun-tahun lamanya. Oleh itu mereka
yang sampai ke terakhir - iaitu bersatu dengan ALLAH – adalah
orang-orang pilihan ALLAH. Merekalah Wali ALLAH. Pada pandangan ALLAH
mereka adalah kekasih, tetapi tidaklah melebihi para-para nabi itu. Dan
mereka sendiri tidak pernah mengaku menjadi nabi atau setaraf dengannya.
Mereka berdiri sebagai taulan bagi mereka yang berjalan menuju ALLAH
dan sumber inspirasi bagi mereka yang ingin mendaki kepuncak kerohanian
insan.
Bagi mereka yang ingin mencapai tujuan tersebut patuhilah
seikhlas-ikhlasnya nasihat dan pimpinan kasih sayang dari Yang Maha
Agung. Maha Terpuji, Maha Besar, Maha Mulia, Tuhan bagi malaikat dan
roh, Maha Tinggi Kemuliaannya iaitu ALLAH S.W.T/ Al-hamdu Lillahi Tabbil
‘Alamin.
“Akhir kata saya bertaubat kepada Allah Yang Maha
Pengampun jika terdapat kesalahan dan kesilapan dari salinan dan olahan
saya, sehingga menyebabkan salah tafsiran bagi pembaca sekelian.”
No comments:
Post a Comment