|
foto hiasan |
Syirik - Perkara yang Paling Ditakuti Rasulullah SAW Atas Umatnya
6. Dari Mahmud bin Labid r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti atas kamu adalah syirik
asghar (syirik kecil).” Para sahabat bartanya, ‘Ya Rasulullah, apa kah
syirik asghar itu?’
Baginda Saw menjawab, “Riya’. Sesungguhnya Allah Tabaaraka wa Ta’ala
berfirman pada hari semua amalan-amalan diganjari, ‘Pergilah kamu kepada
orang-orang yang telah kamu perlihatkan amalan-amalan kamu kepada
mereka dan lihatlah samada ada balasan di sisi mereka itu (untuk kamu).”
[014] (Sahih, dikeluarkan oleh Ahmad, Al-Baghawi dalam Syarhul
As-Sunnah. Kanzul Ummal dan At-Targhib wa Tarhib lil Al-Hafidz
Al-Mundziri)
Penjelasan dan Pengajaran :
a. Amaran terhadap perbuatan riya’ iaitu, orang yang
menunjuk-nunjuk amalannya kepada orang lain bagi memperoleh maksud
tertentu, seperti bangga diri - ingin dikenali sebagai orang berilmu
kerana amalan yang dilakukan dan lain-lain seumpamanya.
b. Perkataan ‘syirik kecil’ bukanlah bermakna meringan-ringankan
perkara syirik, tetapi cukuplah dengan dosa yang bakal diperoleh oleh si
pelaku. Perlu diingat, ini adalah perkara yang paling ditakuti
Rasulullah saw ke atas umatnya.
c. Hari di mana segala rahsia terbongkar dan para pelaku riya’
berasa amat sengsara dan menyesal sekali kerana disuruh meminta
pengurniaan pahala daripada orang yang mereka perlihatkan amalan itu.
7. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Allah Azza
Jalla berfirman, ‘Hamba-Ku akan berterusan bertanya tentang Daku’ :
Allah ini telah menciptakan aku, maka siapakah pula yang menciptakan
Allah?” [016] (Sahih Bukhari dan Muslim)
Penjelasan dan Pengajaran :
a. Apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw benar-benar
telah terjadi seperti sebuah hadis di dalam Musnad Imam Ahmad; seorang
lelaki dari Iraq telah bertanya pada Abu Hurairah r.a, siapakah yang
menciptakan Allah, lalu Abu Hurairah r.a menutup telinganya dan
berteriak, “Benarlah Allah dan Rasul-Nya!” kemudian membaca Surah
Al-ikhlas.
b. Tambahan Blog : Telah muncul zaman kita ini, tentang fahaman
‘Scientology’ yang kini menular di Malaysia. Golongan ini mengingkari
takdir dan mengatakan setiap yang berlaku ada penjelasan sains
tentangnya. Manusia semua bebas tanpa terikat dengan peraturan alam.
Moga kita dilindungi oleh Allah yang Maha Penyayang dari tergolong di
kalangan mereka ini.
Pagi Seorang Mukmin, Petang Menjadi Kafir
8. Dari Zaid bin Kholid Al-Juhni r.a : Beliau telah berkata,
Rasulullah saw telah bersolat subuh dengan kami di Hudaibiyyah di
penghujung malam. Apabila selesai bersolat, baginda berpaling menghadap
ke arah orang ramai (para sahabatnya) seraya bersabda, “Adakah kamu
sekalian mengetahui apakah yang difirmankan oleh Tuhan kamu?” Mereka
menjawab ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’
Rasulullah saw pun bersabda, “Allah berfirman, ‘Berpagi-pagi
hamba-hamba-Ku beriman dengan-Ku. Maka adapun orang-orang yang berkata,
‘Kami diberi hujan justeru dengan kurniaan Allah SWT dan rahmat-Nya’,
orang yang berkata sedemikian itu adalah orang yang beriman dengan-Ku
dan kufur dengan bintang-bintang.
Dan adapun orang yang berkata, ‘Kami diberi hujan disebabkan bintang
yang condong ke arah barat ini dan itu’, maka orang yang berkata
sedemikian adalah orang yang kufur dengan-Ku dan beriman dengan bintang
(syirik-pent).” [017] (Sahih. Dikeluarkan oleh Imam Malik, Imam Syafi’e
dalam musnadnya, Imam Al-Bukhari dan Muslim, Abi ‘Awanah dan Al-Baihaqi)
Penjelasan dan Pengajaran :
a. Mereka yang beriktikad bahawa hujan turun adalah kerana,
ketika bintang itu condong ke barat, maka hujan akan turun ketika itu
(menolak kekuasaan Allah SWT). Padahal Allah SWT yang menurunkan hujan
(rujuk Surah An-Naba’ [78] : 14-16).
b. Tambahan Blog : Perlu berhati-hati ketika mengeluarkan
perkataan atau percakapan seperti orang zaman ini berkata, ’Hujan turun
kerana bulan Disember’, atau ‘manusia boleh membuat hujan melalui
pembenihan awan’ dan lain-lain percakapan yang menidakkan kekuasaan
Allah SWT. Semoga Allah yang Maha Penyayang melindungi kita dari
kekufuran.
Mencerca Masa
9. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Allah Azza
wa Jalla berfirman : Anak Adam menyakiti Aku dengan mengutuk zaman
(masa) dan Aku adalah zaman. Aku membolak-balikkan malam dan siang. Maka
jika Aku menghendaki, Aku akan menggenggam kedua-duanya (malam dan
siang).” [025] (Sahih. Dikeluarkan oleh Al-Hakim, Al-Baihaqi)
Al-Hakim telah memulakan hadis di atas dengan kata-kata perawinya,
Sufyan bin ‘Uyainah : Orang-orang jahiliyah telah berkata, ‘Sesungguhnya
zaman (masa) itulah yang membinasakan kita semua. Dialah (perjalanan
masa) yang mematikan dan menghidupkan kita.’ (Maksudnya, kaum jahiliyah
menolak kekuasaan Allah yang Maha Agung).
Penciptaan Makhluk Di Dalam Rahim Ibunya
10. Dari Abdullah bin Mas’ud : Rasulullah saw bersabda,
“Penciptaan salah seorang kamu disempurnakan dalam rahim ibunya
sepanjang tempoh beberapa kali (dalam) empat puluh hari. Empat puluh
hari yang kedua dalam bentuk segumpal darah kemudian dalam empat puluh
hari yang ketiga dalam bentuk segumpal daging.
Kemudian Allah mengutuskan malaikat kepadanya lalu diperintahkan agar
menulis untuknya empat kalimah dengan firman-Nya : ‘Tulislah baginya
amalannya, ajalnya, rezekinya dan samada celaka atau bahagia.’
Maka demi Dia yang memegang jiwa ku di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya
(jika) seseorang dari kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga
hinggalah jarak beliau dengan syurga itu hanyalah satu hasta, maka
sebagaimana telah dituliskan ketentuannya (sebagai ahli neraka) lalu
beramallah beliau dengan amalan ahli neraka, justeru itu beliaupun masuk
neraka.
Dan sesungguhnya (jika) seseorang dari kamu beramal dengan amalan ahli
neraka hinggalah jarak beliau dengan neraka itu hanyalah sehasta, namun
telah ditetapkan ketentuan (takdir) untuknya (sebagai ahli syurga) lalu
beliaupun beramal dengan amalan ahli syurga, justeru itu beliaupun masuk
syurga.” [040] (Sahih. Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, Imam Ahmad dan
hampir seumpama lafaznya juga yang telah dikeluarkan oleh Al-Bukhari,
Muslim, Abu Daud, dan At-Tirmidzi)
Keterangan Hadis : Begitu banyak pengajaran yang terdapat dalam
hadis ini, namun kesimpulannya adalah mengagungkan kekuasaan Allah yang
Maha Tinggi. Selain itu kita wajib beriman kepada qada dan qadar ini dan
bersangka baik kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Jika kita merasakan bahawa kita adalah ahli syurga, maka berusahalah
menuntut ilmu agar kita dapat beramal dengan amalan ahli syurga.
Maksudnya, hadis ini memberi dorongan atau motivasi kepada kita untuk
berusaha mendapatkan syurga.
Hadis ini juga mengajar kita supaya tidak sombong dan memandang rendah
pada orang lain kerana syurga dan neraka itu milik Allah yang Maha Agung
dan Dia boleh memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.
Tambahan Blog : Mengenai penciptaan dalam masa empat puluh hari
itu bererti keseluruhannya dalam tempoh masa empat puluh hari, bukan
tiga atau empat bulan. Begitulah kajian ulama kini. Sila rujuk kajian
Prof. Dr. Sharaf al-Qudhah [Fakulti Syariah, Universiti Jordan] dan
diterjemahkan oleh Zulkifli Hj Mohd Yusoff Abdurrahim Yapono [Universiti
Malaya] dalam bukunya berjudul ‘Bilakah Waktu Janin Ditiupkan Roh?’.
Pena (Al-Qalam)
11. Dari Ubadah bin As-Somit r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Sesungguhnya yang pertama-tama diciptakan oleh Allah adalah ‘Al-Qalam’.
Allah berfirman kepadanya : ‘Tulislah.’ Al-Qalam pun berkata : ‘Apakah
yang aku akan tulis?’ Allah berfirman : ‘Tulislah akan qadar (takdir)
dan apa yang terjadi untuk selama-lamanya.” [041] ( Sahih. Dikeluarkan
oleh At-Tirmidzi dan Abu Daud At-Tayaalisi)
Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Allah yang Maha Agung telah menetapkan semua takdir pada apa
sahaja perkara yang berlaku dan akan berlaku selama-lamanya.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Pencipta segala sesuatu.
[b]. Allah Maha Mengetahui sejak azali bahawa jika seseorang itu
melakukan kejahatan atau kebaikan setelah mereka diberi hak untuk
membuat pilihan.
[c]. Keimanan seseorang hamba tidak akan sempurna jika tidak
mengimani perkara takdir ini dan hendaklah mereka menerima baik atau
buruk sesuatu takdir dengan redha.