Friday, 17 February 2012

PERIHAL SOLAT

foto hiasan from google
 Bangun Di Waktu Malam
12. Dari ‘Uqbah bin ‘Amir Al-Juhni r.a : Nabi saw bersabda, “Dua orang lelaki dari kalangan umat ku; salah seorang dari mereka bangun di waktu malam seraya melawan keinginannya untuk terus tidur dan malas beribadat, lalu berwudhuk. Diikat pada tubuhnya (orang yang tidur) beberapa ikatan (oleh syaitan).

Maka apabila beliau berwudhuk dan mewudhukkan kedua-dua tangannya, terlepaslah satu ikatan. Dan apabila dia mewudhukkan wajahnya terlepaslah pula satu ikatan. Apabila mengusap wajahnya, terlepaslah pula satu ikatan. Apabila mengusap kepalanya terlepas lagi satu ikatan dan apabila beliau mewudhukkan kakinya terlepas pula ikatan yang lain.

Maka Allah Azza Wa Jalla berfirman kepada mereka yang berada di sebalik hijab (para malaikat) : ‘Kamu lihatlah kepada hamba-Ku ini. Beliau melawan keinginan (untuk terus tidur dan beribadat) nafsunya, lalu meminta (berdoa selepas solat) dari-Ku. Oleh itu, apa sahaja yang dipinta oleh hamba-Ku maka itulah miliknya (doanya dimakbulkan oleh Allah yang Maha Tinggi).

Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Sesungguhnya seseorang Muslim apabila hendak melakukan kebaikan atau beribadah memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dan kekuatan menentang penguasaan syaitan ke atas dirinya.

[b]. Di antara senjata untuk melawan penguasaan syaitan ke atas diri adalah dengan berwudhuk.

[c]. Allah yang Maha Agung mencintai seseorang mukmin yang berjuang melawan penguasaan syaitan ke atas dirinya dengan merawatinya melalui berbuat ketaatan. Hasilnya Allah yang Maha Agung menerima doa yang dipanjatkannya.

Malaikat Pencatat Amalan
13. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Malaikat-malaikat pencatat amalan yang dilakukan di waktu malam dan siang silih berganti mencatat amalan-amalan kamu. Mereka berkumpul di waktu solat Asar dan solat Subuh.

Kemudian malaikat yang bermalam di kalangan mereka naik. Allah bertanya kepada mereka (sedangkan Allah Maha Mengetahui) : ‘Dalam keadaan bagaimanakah kamu meninggalkan hamba-hambaKu?’ Mereka menjawab : ‘Kami meninggalkan mereka dalam keadaan mereka bersolat dan kami telah datang kepada mereka dalam keadaan mereka juga bersolat.” [062] (Sahih. Dikeluarkan oleh Imam Malik. Al-Bukhari dan Muslim, Imam Ahmad, Abu ‘Awanah dan Al-Baghowi)

Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Para malaikat pencatat amalan itu terbahagi kepada dua golongan;
[1]. Golongan yang bertugas dari fajar hingga ke solat Asar
[2]. Golongan yang bertugas dari solat Asar hingga kef ajar berikutnya.

[b]. Manusia seharusnya sedar; segala perbuatannya, siang dan malam dicatat oleh malaikat sebagai bukti dan saksi apa yang telah kita lakukan ketika hidup di dunia ini pada hari pembalasan nanti.

Solat Adalah Amalan yang Pertama Dihisab
14. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya amalan pertama akan dihisab pada seseorang hamba ialah solatnya. Jika solatnya baik maka sesungguhnya beliau telah berjaya dan selamat dan sekiranya solatnya rosak maka sesungguhnya rugi dan binasalah ia.

Sekiranya berlaku sesuatu kekurangan pada solat fardhunya, maka Tuhan Pemelihara Azza wa Jalla akan berfirman (kepada para malaikat-Nya) : Lihatlah oleh kamu adakah hamba-Ku mempunyai ibadat tathowwu’?

Lalu solat fardhunya itu disempurnakan dengan solat tathowwu’-nya itu. Kemudian seluruh amalan dihisab sedemikian juga.” [065] (Sahih. Dikeluarkan oleh At-Tirmidzi dan An-Nasa’i. Juga dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Hakim dll dengan lafaz sedikit berbeza)

Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Ibadat tathowwu’ adalah salah satu dari cabang amalan-amalan mandub (sunat). Antara contoh ibadat tathowwu’ seperti sedekah, puasa Isnin dan Khamis, solat sunat dan sunat muakkad. Dipanggil juga sunat tambahan atau nafilah. (Sila rujuk ilmu usul fiqh).

[b]. Mengenai kekurangan solat fardhu, ulama mempunyai pelbagai pendapat. Antaranya, kekurangan kerana kurang khusyuk dalam solat, kekurangan bilangan solat fardhu, kekurangan kesempurnaan solat dan lain-lain.

Namun ulama memilih kekurangan pada bilangan solat fardhu yang ditinggalkan lebih sesuai dalam mentakrif hadis tersebut.

[c]. Jangan sesekali kita memandang remeh ibadah sunat. ‘Ibadah sunat adalah perkara yang apabila dikerjakan, mendapat pahala yang boleh menyelamat dari azab dan apabila ditinggalkan, akan mengalami kerugian yang besar’.

Tertolak Solat yang Tidak Dibacakan Al-Fatihah
16. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang mengerjakan satu solat tanpa Ummul Quran (Al-Fatihah) maka beliau seorang penipu (diulang tiga kali), (iaitu) tidak sempurna.”

Lalu ditanya (oleh orang) kepada Abu Hurairah : “Sesungguhnya (jika) kami bersolat di belakang imam?”

Kata Abu Hurairah r.a : “Bacalah untuk diri mu kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda” : “Allah Ta’ala berfirman : Aku membahagikan solat itu antara-Ku dengan hamba-Ku kepada dua bahagian dan untuk hamba-Ku apa yang dipintanya (permintaannya dikabulkan).

Apabila si hamba membaca : Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam,
Allah Ta’ala berfirman : Hamba-Ku memuji-Ku.

Apabila si hamba membaca : Yang Maha Pemurah dan Pengasih,
Allah Ta’ala berfirman : Hamba-Ku memuja-Ku.

Apabila si hamba membaca : Penguasa hari pembalasan,
Allah berfirman : Hamba-Ku mengagungkan Daku, hamba-Ku menyerahkan (urusannya kepada-Ku).

Apabila si hamba membaca : Kepada-Mu kami menyembah dan kepada-Mu kami memohon pertolongan,
Allah Ta’ala berfirman : Ini adalah antara-Ku dan hamba-Ku dan untuk hamba-Ku apa yang dipintanya.

Apabila si hamba membaca : Tunjukilah kami ke jalan yang lurus, jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat dan bukannya jalan orang-orang yang Engkau murkai dan orang-orang yang sesat,
Allah berfirman : Ini adalah untuk hamba-Ku dan untuk hamba-Ku apa yang dipintanya.”
[074] (Sahih. Dikeluarkan oleh Muslim, Imam Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Al-Baihaqi dll)

Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Penipuan dalam solat adalah orang yang tidak tidak mengerjakan solat dengan sempurna (tidak sempurna rukunnya). Puncanya kerana membiarkan diri dalam keadaan jahil dan tidak ambil peduli untuk mempelajari cara bersolat.

[b]. Membahagikan solat itu kepada dua bahagian bermaksud, solat tidak sah tanpa membaca surah Al-Fatihah ini (catatan tepi Sahih Muslim).

No comments:

Post a Comment