Friday, 17 February 2012

AMALAN

foto hiasan from google
Hanya Amalan yang Ikhlas Diterima Oleh Allah SWT – (Golongan Manusia yang Pertama Dihisab di Hari Penghisaban)

5. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Manusia yang awal-awal akan diadili pada hari kiamat adalah seorang lelaki yang telah mati syahid. Lalu lelaki itu dibawa ke muka (pengadilan-pent).

Allah SWT telah memperingatkan kepadanya segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepadanya, lantaran itu, lelaki itupun mengakui akan segala nikmat kurniaan Allah SWT tersebut.

(i). Allah SWT bertanya kepadanya (sedangkan Dia Maha Mengetahui): ‘Maka apakah yang telah dikau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Lelaki itupun menjawab: ‘Aku berperang kerana-Mu sehinggalah aku mati mati syahid.’Allah SWT berfirman: ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu berperang supaya kamu dipanggil seorang yang berani. Oleh yang demikian, sesungguhnya kamu telah telahpun dipanggil sedemikian.’

Kemudian Allah SWt memerintahkan agar lelaki itu dicampakkan ke dalam api neraka, lalu beliaupun ditarik dengan mukanya ke bawah hinggalah dicampakkan ke dalam api neraka.

(ii). Dan seorang lelaki yang mempelajari ilmu (agama) dan mengajarkannya. Beliau juga membaca Al-Quran (ataupun seorang yang mahir dalam pembacaan Al-Quran). Lelaki itupun dibawa menghadap Allah SWT.

Allah SWT memperingatkan segala nikmat yang diberikan kepadanya. Lelaki itu mengakui akan penerimaan semua nikmat tersebut. Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Oleh itu, apakah yang telah kamu lakukan dengannya?’ Lelaki itupun menjawab : ‘Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya (kepada orang lain). Aku telah membaca Al-Quran semata-mata kerana-Mu.’

Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu telah mempelajari ilmu supaya kamu dipanggil sebagai seorang ‘alim dan kamu telah membaca Al-Quran supaya dipanggil seorang qari. Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil sedemikian.

Kemudian Allah SWT telah memerintahkan kepada malaikat agar lelaki itu dibawa pergi dan diheret dengan mukanya ke bawah hinggalah beliau dicampakkan ke dalam api neraka.

(iii). Begitu juga seorang lelaki yang telah diperluaskan oleh Allah SWT untuknya segala jenis harta kesemuanya. Lelaki itu pun dihadapkan ke muka. Allah SWt memperingatkan segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada lelaki tersebut lalu lelaki itu mengakuinya.

Allah berfirman kepada lelaki itu : ‘Maka apakah yang telah kamu lakukan dengan kesemua harta itu?’ Lelaki itu menjawab : ‘Tidaklah aku tinggalkan walaupun satu jalan yang disukai agar dibelanjakan harta untuknya melainkan aku telah membelanjakan hartaku semata-mata kerana-Mu.’
Allah berfirman : ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu telah melakukan semua itu agar kamu dipanggil seorang dermawan. Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil sedemikian.

Kemudian diperintahkan agar lelaki itu dibawa pergi lalu beliau ditarik dengan mukanya ke bawah dan kemudian dicampakkan ke dalam api neraka.” [011] (Sahih, Muslim, Ahmad, An-Nasa’i dan Al-Hakim)

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Diperjelaskan kepada kita mengenai balasan orang-orang yang tidak ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT. Mereka berbuat kebaikan demi kepentingan dunia dan diri mereka semata-mata.

b. Hendaklah melaksanakan ibadah dengan niat kerana Allah SWT dan untuk memperoleh keredhaan-Nya. (Sila rujuk Sahih Bukhari dalam hadis pendahuluan)

c. Hadis ini perlu dijadikan pengajaran bagi setiap lapisan masyarakat kerana segala nikmat Allah SWT akan ditanya untuk apa kita gunakan di dunia ini, terutama para ilmuwan, hartawan dan mereka yang mendakwa berjihad di jalan Allah SWT. Adakah kita benar-benar mengikut jalan yang ditunjuk oleh Rasulullah saw dan para sahabat?

No comments:

Post a Comment