Friday, 17 February 2012

SYIRIK II

foto hiasan
Syirik - Perkara yang Paling Ditakuti Rasulullah SAW Atas Umatnya
6. Dari Mahmud bin Labid r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti atas kamu adalah syirik asghar (syirik kecil).” Para sahabat bartanya, ‘Ya Rasulullah, apa kah syirik asghar itu?’

Baginda Saw menjawab, “Riya’. Sesungguhnya Allah Tabaaraka wa Ta’ala berfirman pada hari semua amalan-amalan diganjari, ‘Pergilah kamu kepada orang-orang yang telah kamu perlihatkan amalan-amalan kamu kepada mereka dan lihatlah samada ada balasan di sisi mereka itu (untuk kamu).” [014] (Sahih, dikeluarkan oleh Ahmad, Al-Baghawi dalam Syarhul As-Sunnah. Kanzul Ummal dan At-Targhib wa Tarhib lil Al-Hafidz Al-Mundziri)

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Amaran terhadap perbuatan riya’ iaitu, orang yang menunjuk-nunjuk amalannya kepada orang lain bagi memperoleh maksud tertentu, seperti bangga diri - ingin dikenali sebagai orang berilmu kerana amalan yang dilakukan dan lain-lain seumpamanya.

b. Perkataan ‘syirik kecil’ bukanlah bermakna meringan-ringankan perkara syirik, tetapi cukuplah dengan dosa yang bakal diperoleh oleh si pelaku. Perlu diingat, ini adalah perkara yang paling ditakuti Rasulullah saw ke atas umatnya.

c. Hari di mana segala rahsia terbongkar dan para pelaku riya’ berasa amat sengsara dan menyesal sekali kerana disuruh meminta pengurniaan pahala daripada orang yang mereka perlihatkan amalan itu.

7. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Allah Azza Jalla berfirman, ‘Hamba-Ku akan berterusan bertanya tentang Daku’ : Allah ini telah menciptakan aku, maka siapakah pula yang menciptakan Allah?” [016] (Sahih Bukhari dan Muslim)

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw benar-benar telah terjadi seperti sebuah hadis di dalam Musnad Imam Ahmad; seorang lelaki dari Iraq telah bertanya pada Abu Hurairah r.a, siapakah yang menciptakan Allah, lalu Abu Hurairah r.a menutup telinganya dan berteriak, “Benarlah Allah dan Rasul-Nya!” kemudian membaca Surah Al-ikhlas.

b. Tambahan Blog : Telah muncul zaman kita ini, tentang fahaman ‘Scientology’ yang kini menular di Malaysia. Golongan ini mengingkari takdir dan mengatakan setiap yang berlaku ada penjelasan sains tentangnya. Manusia semua bebas tanpa terikat dengan peraturan alam. Moga kita dilindungi oleh Allah yang Maha Penyayang dari tergolong di kalangan mereka ini.

Pagi Seorang Mukmin, Petang Menjadi Kafir
8. Dari Zaid bin Kholid Al-Juhni r.a : Beliau telah berkata, Rasulullah saw telah bersolat subuh dengan kami di Hudaibiyyah di penghujung malam. Apabila selesai bersolat, baginda berpaling menghadap ke arah orang ramai (para sahabatnya) seraya bersabda, “Adakah kamu sekalian mengetahui apakah yang difirmankan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.’

Rasulullah saw pun bersabda, “Allah berfirman, ‘Berpagi-pagi hamba-hamba-Ku beriman dengan-Ku. Maka adapun orang-orang yang berkata, ‘Kami diberi hujan justeru dengan kurniaan Allah SWT dan rahmat-Nya’, orang yang berkata sedemikian itu adalah orang yang beriman dengan-Ku dan kufur dengan bintang-bintang.

Dan adapun orang yang berkata, ‘Kami diberi hujan disebabkan bintang yang condong ke arah barat ini dan itu’, maka orang yang berkata sedemikian adalah orang yang kufur dengan-Ku dan beriman dengan bintang (syirik-pent).” [017] (Sahih. Dikeluarkan oleh Imam Malik, Imam Syafi’e dalam musnadnya, Imam Al-Bukhari dan Muslim, Abi ‘Awanah dan Al-Baihaqi)

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Mereka yang beriktikad bahawa hujan turun adalah kerana, ketika bintang itu condong ke barat, maka hujan akan turun ketika itu (menolak kekuasaan Allah SWT). Padahal Allah SWT yang menurunkan hujan (rujuk Surah An-Naba’ [78] : 14-16).

b. Tambahan Blog : Perlu berhati-hati ketika mengeluarkan perkataan atau percakapan seperti orang zaman ini berkata, ’Hujan turun kerana bulan Disember’, atau ‘manusia boleh membuat hujan melalui pembenihan awan’ dan lain-lain percakapan yang menidakkan kekuasaan Allah SWT. Semoga Allah yang Maha Penyayang melindungi kita dari kekufuran.

Mencerca Masa
9. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Allah Azza wa Jalla berfirman : Anak Adam menyakiti Aku dengan mengutuk zaman (masa) dan Aku adalah zaman. Aku membolak-balikkan malam dan siang. Maka jika Aku menghendaki, Aku akan menggenggam kedua-duanya (malam dan siang).” [025] (Sahih. Dikeluarkan oleh Al-Hakim, Al-Baihaqi)

Al-Hakim telah memulakan hadis di atas dengan kata-kata perawinya, Sufyan bin ‘Uyainah : Orang-orang jahiliyah telah berkata, ‘Sesungguhnya zaman (masa) itulah yang membinasakan kita semua. Dialah (perjalanan masa) yang mematikan dan menghidupkan kita.’ (Maksudnya, kaum jahiliyah menolak kekuasaan Allah yang Maha Agung).

Penciptaan Makhluk Di Dalam Rahim Ibunya
10. Dari Abdullah bin Mas’ud : Rasulullah saw bersabda, “Penciptaan salah seorang kamu disempurnakan dalam rahim ibunya sepanjang tempoh beberapa kali (dalam) empat puluh hari. Empat puluh hari yang kedua dalam bentuk segumpal darah kemudian dalam empat puluh hari yang ketiga dalam bentuk segumpal daging.

Kemudian Allah mengutuskan malaikat kepadanya lalu diperintahkan agar menulis untuknya empat kalimah dengan firman-Nya : ‘Tulislah baginya amalannya, ajalnya, rezekinya dan samada celaka atau bahagia.’

Maka demi Dia yang memegang jiwa ku di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya (jika) seseorang dari kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga hinggalah jarak beliau dengan syurga itu hanyalah satu hasta, maka sebagaimana telah dituliskan ketentuannya (sebagai ahli neraka) lalu beramallah beliau dengan amalan ahli neraka, justeru itu beliaupun masuk neraka.

Dan sesungguhnya (jika) seseorang dari kamu beramal dengan amalan ahli neraka hinggalah jarak beliau dengan neraka itu hanyalah sehasta, namun telah ditetapkan ketentuan (takdir) untuknya (sebagai ahli syurga) lalu beliaupun beramal dengan amalan ahli syurga, justeru itu beliaupun masuk syurga.” [040] (Sahih. Dikeluarkan oleh Ibnu Majah, Imam Ahmad dan hampir seumpama lafaznya juga yang telah dikeluarkan oleh Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan At-Tirmidzi)

Keterangan Hadis : Begitu banyak pengajaran yang terdapat dalam hadis ini, namun kesimpulannya adalah mengagungkan kekuasaan Allah yang Maha Tinggi. Selain itu kita wajib beriman kepada qada dan qadar ini dan bersangka baik kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Jika kita merasakan bahawa kita adalah ahli syurga, maka berusahalah menuntut ilmu agar kita dapat beramal dengan amalan ahli syurga. Maksudnya, hadis ini memberi dorongan atau motivasi kepada kita untuk berusaha mendapatkan syurga.

Hadis ini juga mengajar kita supaya tidak sombong dan memandang rendah pada orang lain kerana syurga dan neraka itu milik Allah yang Maha Agung dan Dia boleh memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Tambahan Blog : Mengenai penciptaan dalam masa empat puluh hari itu bererti keseluruhannya dalam tempoh masa empat puluh hari, bukan tiga atau empat bulan. Begitulah kajian ulama kini. Sila rujuk kajian Prof. Dr. Sharaf al-Qudhah [Fakulti Syariah, Universiti Jordan] dan diterjemahkan oleh Zulkifli Hj Mohd Yusoff Abdurrahim Yapono [Universiti Malaya] dalam bukunya berjudul ‘Bilakah Waktu Janin Ditiupkan Roh?’.

Pena (Al-Qalam)
11. Dari Ubadah bin As-Somit r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya yang pertama-tama diciptakan oleh Allah adalah ‘Al-Qalam’. Allah berfirman kepadanya : ‘Tulislah.’ Al-Qalam pun berkata : ‘Apakah yang aku akan tulis?’ Allah berfirman : ‘Tulislah akan qadar (takdir) dan apa yang terjadi untuk selama-lamanya.” [041] ( Sahih. Dikeluarkan oleh At-Tirmidzi dan Abu Daud At-Tayaalisi)

Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Allah yang Maha Agung telah menetapkan semua takdir pada apa sahaja perkara yang berlaku dan akan berlaku selama-lamanya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Pencipta segala sesuatu.

[b]. Allah Maha Mengetahui sejak azali bahawa jika seseorang itu melakukan kejahatan atau kebaikan setelah mereka diberi hak untuk membuat pilihan.

[c]. Keimanan seseorang hamba tidak akan sempurna jika tidak mengimani perkara takdir ini dan hendaklah mereka menerima baik atau buruk sesuatu takdir dengan redha.

No comments:

Post a Comment