Friday, 17 February 2012

SYIRIK

foto hiasan from google
Amaran Terhadap Perbuatan Syirik dan Kelebihan Tauhid
1. Dari Anas r.a : Rasulullah saw bersabda, "Allah Ta'ala berfirman kepada orang yang menerima azab yang paling ringan pada hari kiamat; 'Jika kamu mempunyai sesuatu di atas permukaan bumi sebagai tebusan, adakah kamu menebus azab ini dengannya?' Orang itu pun menjawab, 'Ya'.

Allah Ta'ala pun berfirman, 'Aku menghendaki darimu agar melakukan sesuatu yang lebih mudah dari ini sewaktu kamu berada di dalam tulang sulbi Adam (iaitu) agar kamu tidak mempersekutukan sesuatu dengan-Ku, namun kamu telah ingkar (enggan) melakukannya, melainkan kamu telah mempersekutukan Daku." (Sahih, Al-Bukhari dan seumpamanya oleh Imam Ahmad) [001]

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Sesuatu yang dikehendaki Allah SWT yang lebih mudah iaitu iman. Iman bermaksud melafazkan kalimah tauhid dengan lidah (lisan), meyakini dengan sepenuh hati dan melaksanakannya dengan fizikal atau anggota badan (beramal).

b. Syirik bermaksud mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain seperti menyembah berhala, memuja kubur, menganggap Nabi Isa a.s sebagai anak tuhan dan sebagainya. Syirik juga boleh membawa makna terdapat kuasa lain yang lebih berkuasa dari kekuasaan Allah SWT, seperti percaya pada tangkal dan lain-lain.

c. Syirik boleh juga terjadi melalui perkataan atau percakapan kita sehari-hari seperti “Kejayaan aku hari ini adalah kerana usaha aku!”, sama seperti percakapan Qarun dalam Surah Al-Qasas [28] : 78, contoh dua: “Jika tiada ubat ini, tentulah aku mati,” dan yang seumpama dengannya.

d. Rujuk Surah Al-A’raaf [7] : 172, perihal janji manusia kepada Allah SWT sebelum dilahirkan.

2. Dari Anas r.a : Nabi saw bersabda, “Seorang kafir akan ditampilkan ke muka (pengadilan) pada hari kiamat, lalu dikatakan kepadanya; ‘Apa pandangan kamu sekiranya kamu mempunyai emas sepenuh bumi, adakah kamu akan menggunakannya sebagai tebusan (untuk menggantikan azab yang kamu rasai)?” Si kafir itupun berkata, ‘Ya.’

Sabda Rasulullah saw, “Maka dikatakan kepada si kafir itu, ‘Sesungguhnya Aku telah meminta dari kamu suatu yang lebih mudah dari sedemikian itu.’ Yang sedemikian itu adalah Firman Allah Azza wa Jalla (maksudnya) : Sesungguhnya orang-orang kafir dan mati sedangkan mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima dari seseorang dari mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.......” (Surah Ali Imran [3] : 91) [003] (Sahih, Imam Ahmad. Hadis di dalam kitab Kanzul Ummal - Al-Hindi)

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Iman dan tauhid itu menjadi tempat perlindungan dari azab Allah SWT di alam akhirat. Pemahaman yang benar mengenai tauhid dan iman wajib dipelajari oleh segenap orang yang mengaku beragama Islam.

b. Tiada azab yang paling pedih dan dahsyat melainkan azab ‘Khulud’, iaitu tinggal kekal dalam neraka selama-lamanya.

c. Jika ada orang-orang munafik dan kafir bertanya, “Adilkah Allah SWT menyiksa orang-orang kafir dalam neraka untuk selamanya, walhal mereka hanya hidup selama beberapa tahun di dunia?” Jawablah, sekiranya mereka diberi kehidupan seribu tahunpun mereka tetap tidak berniat untuk beriman kepada Allah SWT kerana hati dan mata mereka buta pada kebenaran. Sesungguhnya Allah yang Maha Mengetahui. (Rujuk Surah Al-An’aam [6] : 28)

3. Dari Abu Hurairah r.a : Nabi saw bersabda, “(Nabi) Ibrahim bertemu dengan bapanya Aazar pada hari kiamat. Pada muka Aazar terdapat tanda-tanda legam bagaikan terkena asap (akibat ketakutan terhadap kedahsyatan hari kiamat tersebut) dan dicemari dengan debu. Lalu Ibrahim berkata kepadanya, ‘Tidakkah aku telah memberitahumu agar jangan mengingkari daku (seruan dakwahku)?’

Bapanya pun menjawab, ‘Maka pada hari ini aku tidak akan mengingkari kamu.’ Ibrahim pun berkata padanya, ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah berjanji denganku agar tidak menghinakan daku pada hari di mana semua manusia dibangkitkan (dari kubur masing-masing), maka apakah kehinaan yang lebih dahsyat dari kehinaan yang menimpa bapaku yang terjauh dari rahmat (syurga)Mu?’
Allah Azza wa Jalla berfirman : ‘Sesungguhnya aku mengharamkan syurga itu ke atas orang-orang kafir.’ Kemudian dikatakan kepada Ibrahim, ‘Wahai Ibrahim, apakah yang berada di bawah kedua kakimu?’

Lalu Ibrahim pun melihat ke bawah kedua-dua kakinya dan beliau mendapati seekor serigala hutan yang diselaputi oleh tanah berlumpur. Kemudian serigala itu ditangkap dengan dipegang kakinya lalu dicampakkan ke dalam api neraka.” [004] (Sahih, Al-Bukhari dan seumpamanya dikeluarkan oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak dan diringkaskan oleh Al-Bukhari. Dikeluarkan oleh An-Nasa’i di dalam kitab sunannya (As-Sunan Al-Kubra), seperti yang dikatakan oleh Al-Mazzi di dalam kitab Tuhfatul Asyraf)

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Hadis menjelaskan secara mendalam mengenai orang yang ingkar kepada Allah SWT pada hari kiamat. Kata-kata Nabi Ibrahim a.s pada bapanya bukanlah cercaan, tetapi seolah-olah menyesali sikap bapanya yang enggan menerima dakwahnya.

b. Keimanan pada hari kiamat adalah tidak bermanfaat kerana tidak beriman ketika hidup di dunia. Marilah kita beriman dengan sebenar-benar iman sebelum terlambat.

c. Bapa tidak dapat memberi manfaat, anak juga tidak dapat memberi manfaat kecuali Allah SWT menghendaki atau diizinkan oleh-Nya.

d. Pertukaran Aazar kepada seekor serigala hutan oleh Allah SWT, sehingga Nabi Ibrahim a.s tidak mengenalinya. Inilah hakikat hari kiamat, hubungan kekeluargaan tidak mempunyai erti apa-apa, yang tinggal hanya keimanan yang diadili pada hari kiamat.

No comments:

Post a Comment