Thursday 15 March 2012

7 PERKARA AJAIB TAPI TAK SAMA

 MUKJIZAT
 Keistimewaan yang diberikan kepada nabi dan rasul untuk membuktikan kepada orang kafir tentang kebenaran seruan yang dibawanya datang dari Allah s.w.t. Ia tidak dapat ditandingi oleh manusia. Misalnya tongkat Nabi Musa a.s. menjadi ular yang membaham ualr-ular ahli sihir Firaun. Mukjizat paling besar ialah yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w.

KARAMAH
 Kemurahan atau kemuliaan yang diberikan kepada mereka yang memiliki darjat ketakwaan yang tinggi dan teguh pegangannya kepada Tuhan. Apa yang berlaku kepada mereka adalah diluar kebiasaan, tanpa diduga, tanpa usaha dan tanpa logik. Lazimnya mereka yang diberi karamah hidup hanya mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Karamah terbahagi kepada 2:

KARAMAH ZAHIRIAH
Boleh dilihat dengan mata kasar. Misalnya beribadat dalam tempoh lama tanpa makan dan minum. Kisah Allah memberikan buah-buahan yang turun dari langit kepada Maryam, ibu Nabi Isa a.s. sedangkan buah tersebut bukan musimnya juga sebahagian daripada karamah. Surah Al-Imran ayat 37 juga ada menerangkan bahawa ketika Nabi Zakaria a.s. menemui puterinya, Maryam di mihrabnya, dia melihat makanan berada disisinya. Apabila ditanya bagaimana Maryam memperolehnya? Maryam menjawab, ia datang dari Allah.

KARAMAH MAKNAWIAH
Tidak dapat dilihat, tetapi dapat dirasai dengan mata hati. Contohnya memerangi hawa nafsu tanpa perlu bermujahadah, musuh berasa gerun apabila melihatnya dan pelbagai lagi.

MAUNAH
Menurut perspektif Islam, maunah bermaksud pertolongan atau bantuan daripada Allah s.w.t. Ia berupa keajaiban yang diperolehi oleh seseorang mukmin tanpa diusahakan atau dipelajari melalui latihan tertentu. Contohnya; berada dalam keadaan selamat tanpa mengalami kecederaan walaupun terjatuh dari bangunan tinggi.

IRHAS
Sesuatu yang luar biasa yang diberikan kepada seseorang yang bakal dilantik untuk menjadi Rasul. Contohnya, Nabi Isa a.s. boleh bercakap ketika usianya masih bayi, dan Nabi Muhammad s.a.w. dipayungi awan ketika baginda berada di kawasan padang pasir yang panas terik dalam perjalanan dari Mekah menuju ke Syam.

ISTIDRAJ
Tipu daya yang dilakukan oleh mereka yang mendustai Allah s.w.t. atau orang-orang kafir. Ia akan menambahkan kebodohan dan kejahilan sehingga Allah s.w.t. menimpakan bala keatasnya.
Contohnya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: " Apabila kamu melihat Allah memberikan kepada seseorang hambaNYA apa yang dihajati, sedangkan hambaNYA itu tetap dalam kemaksiatan."

IHANAH
Keajaiban yang berlaku pada seseorang yang mendakwa dirinya Nabi. Kejadian seperti ini pernah berlaku setelah kewafaran Rasulullah s.a.w. Sewaktu pemerintahan Saiyidina Abu Bakar, apabila Musailamatul Kazzab dari kaum Bani Hanifah di daerah Yamamah yang mengakui dirinya Nabi.
Dia yang sebelum ini mempelajari ilmu sihir cuba mengubati orang yang buta sebelah mata. Malangnya orang itu buta kedua-dua belah mata setelah diubati olehnya.


SIHIR
Keajaiban yang berlaku pada mereka yang melakukan maksiat dan menyekutukan Allah. Dari segi istilah ia adalah perbuatan yang menyakiti atau mempengaruhi badan, hati atau akal yang disihir secara tersembunyi. Di alam Melayu, ia merujuk kepada ilmu hitam.

Sihir boleh diperolehi melalui pembelajaran menggunakan kuasa jin atau syaitan dan berlaku sejak zaman Firaun hingga kini. Dalam Al-Qur'an juga ada menjelaskan tentang sihir ini. Contohnya dalam surah al-Baqarah, ayat 102, yang menceritakan tentang malaikat Harut dan Marut yang diturunkan untuk menentang ahli sihir.

Tujuan kedatangan malaikat tersebut untuk menunjukkan bahawa sihir adalah perbuatan yang boleh membawa manusia ke arah kekufuran.

Ibnu Khaldun dalam bukunya Muqqadimah antara lain menyebut, "Ilmu sihir dan tilik adalah ilmu tentang persediaan jiwa manusia untuk mendapatkan sesuatu sama ada tanpa bantuan atau dengan bantuan dari langit. Kedua-duanya tidak diterima oleh Allah kerana ia membahayakan manusia. Ada di antara syarat-syaratnya yang menyekutukan Allah s.w.t."


No comments:

Post a Comment