Sunday 25 March 2012

NABI BERCAKAP DENGAN PUTERINYA

 Kecintaan Nabi Muhammad s.a.w. kepada salah seorang anaknya yang masih hidup adalah salah satu bukti luhur daripada perasaan manusia. Tidak pernah baginda s.a.w. melakukan perjalanan sebelum mengucapkan selamat berpisah kepada puterinya ketika kembali, puterinya pula yang pertama sekali baginda temui. Baginda s.a.w. memberikan penghormatan besar kepadanya, lebih daripada kepada isteri-isterinya.

Baginda s.a.w. biasa mengatakan kepada para sahabatnya, "Fatimah adalah bahagian dari diri saya. Kesenangannya adalah kesenangan saya dan kemarahannya adalah kemarahan saya." (Sahih Bukhari)

Bila baginda s.a.w. melihat Fatimah az-Zahra', baginda teringat kepada Khadijah, wanita paling bertaqwa dan mulia didunia, yang telah menanggung kesukaran luar biasa dan menafkahkan kekayaannya yang besar ke jalan suci suaminya.

Sepanjang masa sakit Nabi s.a.w., Fatimah tetap disisi baginda s.a.w. dan tidak pernah jauh daripadanya. Tiba-tiba Nabi s.a.w. memberi isyarat kepadanya untuk bercakap dengan baginda s.a.w. Puteri Nabi s.a.w. membongkok sedikit, mendekatkan kepalanya kepada baginda s.a.w. lalu bercakap-cakap dengan suara perlahan. Orang-orang yang hadir disekeliling Nabi s.a.w. tidak tahu apa yang mereka cakapkan itu.

Ketika Nabi s.a.w. berhenti berkata, Fatimah menangis dengan sedih. Namun setelah itu, Nabi s.a.w. mengisyaratkannya lagi, lalu dia pun kembali bercakap dengan suara perlahan. Kali ini Fatimah mengangkat kepala dengan rasa bahagia dan bibir tersenyum. Orang yang hadir terkejut melihat dua keadaan yang berlawanan pada saat yang bersamaan itu, dan mereka meminta agar Fatimah memberitahu percakapannya dengan Nabi itu, Fatimah berkata, "Saya tidak akan membuka rahsia Nabi Allah."

Setelah wafatnya Nabi Muhammad s.a.w., Fatimah memberitahu kepada mereka tentang percakapannya dengan Nabi atas desakan Aisyah, isteri Nabi Muhammad s.a.w. Dia mengatakan, "Pertama, ayah saya memberitahu kematiannya dan mengatakan bahawa baginda rasanya tidak akan sembuh daripada penyakitnya. Kerana itulah saya menangis. Namun pada kali kedua, baginda s.a.w. mengatakan bahawa sayalah orang pertama diantara ahli baitnya yang akan menyertai baginda s.a.w. disyurga. Ini membuat saya bahagia dan saya sedar akan segera bergabung dengan ayah saya yang tercinta."

p/s: bertuahnya wahai Fatimah az-Zahra...

4 comments: