Saturday 18 February 2012

HAZRAT ABU BAKAR ~sahabat nabi s.a.w.

 MEMUNTAHKAN MAKANAN SEORANG TUKANG TILIK

Hazrat Abu Bakar mempunyai seorang hamba yang menyerahkan sebahagian pendapatannya sebagai *ghulah kepada beliau. Pada suatu hari hamba itu telah membawa sedikit makanan lalu diberikan kepada Hazrat Abu Bakar. Beliau memakan sesuap daripada makanan itu.

Hamba itu berkata, "Setiap hari biasanya tuan bertanyakan cara-cara saya memperolehi pendapatan. Sebaliknya hari ini tuan tidak bertanya pun."

Beliau menjawab : "Oleh kerana tersangat lapar saya tidak sempat bertanya. Sekarang, beritahulah."

Jawab hamba itu, "Pada masa jahiliah dahulu, saya telah lalu berhampiran suatu kaum dan saya telah membaca jampi mentera untuk mereka dan mereka telah menjanjikan bayaran kepada saya. Hari ini, sekali lagi saya lalu disana dan mereka sedang mengadakan kenduri kahwin. Mereka lah yang telah memberikan makanan ini kepada saya."

Hazrat Abu Bakar terus berkata, "Kamu hampir-hampir membinasakan daku."

Setelah itu, beliau memasukkan jarinya ke dalam halkum, berusaha untuk muntah. Namun demikian, sesuap makanan yang dimakan dalam keadaan tersangat lapar itu tidak juga keluar. Seseorang telah mencadangkan agar beliau minum air kerana akan memudahkan beliau muntah. Beliau telah meminta satu bekas besar yang berisi air dan terus meminum air itu serta berusaha untuk muntah sehingga makanan yang sesuap itu berjaya dikeluarkan.

Ada orang mengatakan, "Semoga Allah merahmati tuan. Tuan telah menanggung segala kesusahan kerana sesuap makanan itu. 

Beliau menjawab, "Saya tetap akan mengeluarkan makanan itu walaupun nyawa saya akan melayang. Saya dengar Rasulullah bersabda bahawa api neraka lebih layak untuk daging yang subur dengan harta yang haram. Saya takut mana-mana bahagian anggota badan saya akan subur dengan sesuap makanan itu." (MUNTAKHAB KANZUL-'UMMAL)

No comments:

Post a Comment