Sunday 26 February 2012

KHADIJAH WANITA PERTAMA MEMELUK ISLAM

Menjelang perkahwinan Nabi Muhammad s.a.w. keadaan kewangan dan ekonomi baginda s.a.w. sememangnya belum stabil. Baginda s.a.w. masih memerlukan bantuan kewangan daripada bapa saudaranya, Abu Talib. Urusan perniagaannya belum mantap untuk memilih pasangan dan mendirikan rumahtangga.

Perjalanan terakhirnya ke Syria, sebagai wakil dagang wanita kaya yang terkenal iaitu Khadijah, akhirnya baginda berjaya memulihkan kewangan dan ekonominya. Keberanian dan kecekapannya menimbulkan penghormatan Khadijah. Khadijah menyatakan kesediaannya untuk membayar upah lebih tinggi daripada apa yang dijanjikan semula. Namun, Nabi s.a.w. hanya mahu menerima upah yang sudah disepakati sebelumnya. Baginda s.a.w. pulang kerumah Abu Talib dan menyerahkan semua upah yang diperolehi untuk membantu bapa saudaranya itu.

Abu Talib menunggu anak saudaranya itu dengan rasa gelisah. Matanya digenangi air mata melihat usaha gigih Nabi s.a.w.. Bagaimanapun beliau sangat gembira apabila mengetahui kegiatan usaha Muhammad s.a.w. dan keuntungan yang diperolehinya. Abu Talib memberitahu keinginannya untuk menyerahkan dua ekor unta kepada baginda s.a.w. supaya dia dapat meneruskan usahanya. Mengenai wang yang telah nabi s.a.w. perolehi dan telah diserahkan kepadanya, Abu Talib memutuskan untuk memanfaatkannya dalam memilih isteri untuk Muhammad s.a.w. akan datang.

Persoalannya bagaimana pilihannya boleh jatuh pada Khadijah, padahal sebelumnya wanita itu telah menolak lamaran orang-orang Quraisy paling kaya dan berpengaruh, seperti 'Uqbah bin Abi Mu'ith, Abu Jahal dan Abu Sufyan?

Apakah yang menyatukan dua orang insan yang hidupnya sangat berbeza dan pada akhirnya membuahkan hubungan mesra, cinta dan kebahagiaan sehingga Khadijah menyerahkan seluruh hartanya kepada Muhammad s.a.w. untuk digunakan pada jalan tauhid dan menjunjung kebenaran? Bagaimana mungkin, rumah yang penuh perabut yang bertahtakan gading dan mutiara serta berhiaskan sutera indah dan tirai emas buatan Iran akhirnya menjadi tempat berlindung kaum muslimin?

Sejarah membenarkan bahawa perkahwinan ini adalah hasil keinginan Khadijah dari satu pihak dan di pihak lain disebabkan kesolehan, kejujuran, kebaikan serta kisah kejayaan baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Oleh kerana kesucian dan kebijaksanaan Khadijah, dia ingin berkahwin dengan lelaki soleh dan baik. Berdasarkan inilah Nabi Muhammad s.a.w. berkata tentangnya. "Khadijah adalah salah seorang wanita yang paling mulia didalam syurga."

Dia wanita pertama yang beriman kepada Muhammad s.a.w. Ali bin Abi Talib mengatakan. "Tidak ada keluarga muslim lain kecuali keluarga yang terdiri daripada Muhammad s.a.w., isterinya iaitu Khadijah dan saya sebagai ahli keluarga yang mula-mula memeluk Islam.

foto from google
Ibnu al-Athir menceritakan, seorang pedagang bernama `Afif datang ke masjidil Haram. Dia sangat terkejut melihat solat jemaah oleh satu kelompok yang terdiri daripada tiga orang. Dia melihat Nabi Muhammad s.a.w. solat bersama Khadijah dan Ali r.a. Sekembalinya dari Masjidil Haram dia bertemu `Abbas, bapa saudara Nabi s.a.w. `Afif menceritakan apa yang dilihatnya dan menanyakan perkara yang sebenarnya yang terjadi. `Abbas menjawab, : "Pemimpin ketiga-tiga orang itu adalah orang yang mengaku dirinya sebagai pengikut Nabi s.a.w., yang perempuan adalah isterinya, Khadijah, sedangkan yang ketiga adalah Ali, sepupunya.

No comments:

Post a Comment