Saturday 11 February 2012

SEMARAKKAN SUNNAH NABI

setiap hidupan bertasbih kepadaNYA

Bismillah...
Sunnah Rasulullah s.a.w. terbahagi kepada 3 iaitu:

1. SUNNAH QAULIYYAH : perkataan atau ucapan Rasulullah s.a.w. mengikut peristiwa-peristiwa tertentu.
sabdanya: "Sesungguhnya setiap amalan dinilai mengikut niat. Setiap orang dinilai mengikut apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNYA maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa berhijrah untuk mendapatkan dunia atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrahnya itu."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. SUNNAH FI'LIYYAH :perbuatan atau perlakuan Rasulullah s.a.w. dan Baginda s.a.w. memerintah agar orang-orang mukmin mengikutnya. Contohnya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang." (Riwayat Bukhari)

3. SUNNAH TAQRIRIYYAH :Iaitu diam Nabi s.a.w. terhadap sesuatu perbuatan para sahabatnya dalam perkara yang belum ada hukumnya secara jelas. Baginda tidak membantah mahu pun menyuruhnya. Contohnya ialah tindakan Rasulullah s.a.w. mempersetujui pendapat atau kenyataan lisan sahabatnya, Muaz bin Jabal semasa Baginda s.a.w., mengutusnya ke Yaman.

Sebelum Muaz berangkat, Rasulullah s.a.w. terlebih dulu bertanya kepadanya: "Dengan apakah kamu akan memutuskan masalah umat Islam di Yaman?" Muaz menjawab: "Dengan Al-Qur'an." Rasulullah mengiyakan pandangan Muaz.

Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Bagaimana jika kamu tidak menemuinya dalam Al-Qur'an?" Muaz menjawab: "Saya akan memutuskan dengan berpandukan Hadith Rasulullah s.a.w..Rasulullah membenarkan kata-kata Muaz itu.

Baginda bertanya lagi: "Bagaimana jika kamu tidak menemuinya dalam Al-Qur'an dan Hadith?" Muaz menjawab: "Saya akan berijtihad dengan fikiranku dan tidak melampau." Lalu Rasulullah s.a.w. menepuk dada Muaz tanda setuju.

No comments:

Post a Comment